Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China Kali Pertama berjaya diadakan di BFSU|China-Malaysia

lr_48481_3

Pada 4 hb Januari 2019, Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China Kali Pertama telah berjaya diadakan di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU). Sebagai penganjur bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia ke China, BFSU menyambut kedatangan pensyarah-pensyarah jurusan bahasa Melayu dari sepuluh buah universiti di seluruh negara China untuk bersama-sama membincangkan keadaan semasa dan hala tuju perkembangan pengajaran bahasa Melayu di institusi masing-masing. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil-wakil dari Beijing Foreign Studies University, Communication University of China, Guangdong University of Foreign Studies,GuangXi University for Nationalities, Yunnan Minzu University, Tianjin Foreign Studies University, Xi’an International Studies University, Luoyang Campus of Information Engineering University, Minjiang Teachers College, Hainan College of Foreign Studies.

Selain daripada itu, Guangxi University, Lijiang College of Guangxi Normal University dan Guangxi International Business Vocational College telah diizinkan oleh pihak kementerian pendidikan China untuk menubuhkan jurusan bahasa Melayu, tetapi masih belum mengambil calon pelajar lagi. Di samping itu, terdapat beberapa buah universiti lain di China yang turut menawarkan bahasa Melayu sebagai satu kursus elektif .

lr_48473_2

Tuan Aziz How Abdullah, Penasihat Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China, YBhg Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan, Mantan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, Puan Zhang Wenwen, Ketua Bahagian Bahasa Melayu, China Media Group, Encik Gu Jiayun, Timbalan Dekan Institut Pengajian Asia-Afrika BFSU dan Profesor Wu Zongyu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China BFSU dijemput menghadiri mesyuarat kali ini.

Mesyuarat meja bulat kali ini dibuka dengan ucapan alu-aluan daripada Encik Gu Jiayun, Timbalan Dekan Institut Pengajian Asia-Afrika BFSU. Beliau memperkenalkan BFSU dan menerangkan perkembangan pembangunan dan pencapaian Institut Pengajian Asia-Afrika pada masa kini. Seterusnya, Tuan Haji Aziz How Abdullah memberikan ucapan dan menyampaikan sanjungan serta penghargaan tinggi beliau terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh BFSU sejak penubuhannya dan juga merakamkan ucapan terima kasih kepada universiti-universiti yang lain turut sama mengembangkan bahasa Melayu di China.

Manakala Profesor Wu Zongyu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China BFSU dalam ucapan beliau mengimbas kembali sejarah perjuangan dan cabaran beliau untuk membangunkan bahasa Melayu di BFSU. Beliau turut memberikan pesanan dan nasihat kepada para pensyarah dan pelajar generasi muda supaya terus mengembangkan bahasa Melayu di negara China serta memperkasakan hubungan akrab antara China dan Malaysia.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan memuji usaha dan ikhtiar para pensyarah untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selain para pensyarah, pelajar-pelajar dari Jurusan Bahasa Melayu BFSU turut bertungkus-lumus merealisasikan mesyuarat pada kali ini.

Pada masa kini, perkembangan bahasa Melayu begitu pesat dan terkenal di China. Seiring dengan itu, wakil-wakil pensyarah jurusan bahasa Melayu daripada universiti dan kolej memperkenalkan sejarah perkembangan dan keadaan semasa jurusan bahasa Melayu masing-masing.

Mesyuarat pada kali ini memutuskan untuk menubuhkan “Sekretariat Penggerak Pengajian Melayu China Sesi Pertama (2019-2021)” yang berpusat di BFSU. Prof Madya Dr. Su Yingying selaku wakil Sekretariat telah membentangkan perancangan dan prospek Sekretariat Penggerak Pengajian Melayu di China untuk tahun 2019. Penubuhan “Sekretariat Penggerak Pengajian Melayu China” boleh dikatakan tepat pada masanya dengan tujuan untuk mendorong dan menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi China dalam pengembangan jurusan bahasa Melayu dan pengajaran bahasa Melayu secara menyeluruh.

Perkara ini diharapkan akan meningkatkan lagi kerjasama antara institusi pengajian tinggi di China dan Malaysia dalam bidang pendidikan dan budaya. Pada tahun 2019 ini, bersempena dengan ulang tahun ke-45 penjalinan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia. Sekretariat Penggerak akan bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di China untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan yang menarik. Dalam pada itu, Bahagian Bahasa Melayu, China Media Group dan surat khabar domestik bahasa Inggeris Pemerhatian China-ASIAN melaporkan keseluruhan proses mesyuarat tersebut.

Pada sebelah petang, para peserta mesyuarat dijemput mendengar syarahan perdana daripada Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan yang bertajuk “Kemahiran Bahasa Untuk Komunikasi Berkesan” di Kedutaan Besar Malaysia di China. Sebaik sahaja syarahan perdana selesai, Puan Nuryante Yazid, Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di China menyampaikan sijil penyertaan kepada para pensyarah yang menghadiri program kali ini.

Usaha BFSU dan Kedutaan Besar Malaysia di China dalam melaksanakan Mesyuarat Meja Bulat Perkembangan Jurusan Bahasa Melayu di China Kali Pertama ini merupakan satu kejayaan yang besar dan sebagai langkah pembuka untuk lebih menyemarakkan dan memperkasakan lagi perkembangan bahasa Melayu dan pengajian Melayu di negara China pada masa akan datang.

lr_48457_1

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s